CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, May 14, 2009


" Budi Bahasa dan Nilai Murni Khazanah Kita"

Malaysia hari ini, situasi negara semakin maju dan membangun dengan kepesatan dalam pelbagai bidang termasuklah pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup, masyarakat yang berilmu dan juga masyarakat yang berdaya maju.
Tambahan pula, prinsip pembangunan tersebut digilap dengan asas keIslaman yang dipandang sebagai suatu teori sejajar dengan kemajuan masyarakat.


Islam Hadhari menjadi satu garis panduan berasaskan prinsip sebenar Islam di dalam menggalakkan peningkatan terhadap kemajuan dan pembangunan yang seterusnya akan menjamin kualiti hidup. Masyarakat pula semakin sedar untuk hidup berlumba-lumba mempertingkatkan status kedudukan sebagai suatu kelompok yang berdaya maju dan bertanggungjawab terhadap hal ehwal dan permasalahan serta keperluan negara.

Dengan sikap majoriti secara dominan sebagai suatu masyarakat produktif dan berwibawa, maka negara kita semakin menuju ke arah kecemerlangan, kegemilangan dan terbilang.
Di sebalik pembangunan fizikal dan kebendaan tersebut, kita sebagai masyarakat yang terbilang perlu mempunyai agenda tersendiri agar tidak semata-mata hanya mempunyai infrastruktur kelas pertama tetapi memiliki mentaliti kelas ketiga.

Masyarakat perlu memperkukuh lagi aspek budi bahasa dan nilai-nilai murni yang semakin diabaikan sejak akhir-akhir ini.
Sebagai rakyat Malaysia kita perlu ada kesedaran mengenai asal usul dan acuan kita sendiri yang boleh dilabelkan sebagai "Orang Timur". Orang Timur bukan hanya dikenali dengan penilaian rupa bentuk fizikal sahaja. Akan tetapi kita mewarisi satu khazanah paling berharga yang yang menjadikan kita sebagai masyarakat Timur yang berwibawa. Dari aspek kenegaraan pula, Perdana Menteri kita pada 11 Januari 2005 lalu menggambarkan bahawa "Budaya dan sistem nilai itulah yang sebenarnya menjadi kayu ukur dan mercu tanda sebuah negara maju."
Demikian diucapkan pada majlis pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni.
Demikianlah betapa pentingnya peranan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam aspek kemajuan kita "sendiri" sebagai masyarakat timur atau masyarakat ‘melayu'. Kepentingannya adalah meliputi matlamat Malaysia yang mempunyai matlamat mencapai Wawasan 2020 dan menjadi bangsa yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
Matlamat yang lebih penting di sebaliknya adalah menjadi sebuah masyarakat yang maju mengikut cara kita sendiri dengan erti kata menambahkan peningkatan hidup dan kemajuan tanpa mengurangi nilai-nilai penting khazanah bangsa kita sendiri.

Budaya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bukan sekadar perlu dipertahankan bahkan perlu diperkayakan lagi agar ia tidak mengalami kepupusan serta sentiasa berkesinambungan untuk diwarisi daripada generasi ke generasi seterusnya. Usaha kita mempertahankan budaya dan adat resam perlu juga disertai dengan aspek tingkah laku berbudi bahasa. Malaysia memerlukan pembangunan nilai dan budaya yang betul.

Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa,
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi, runtuhlah bangsa.